Berita UtamaDunia

43 negara kritik China tindas etnik Uyghur

Beijing nafi dakwaan, beri gambaran kem sebagai kemudahan latihan vokasional

GENEVA, 15 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Lebih 40 buah negara terutamanya Barat mengkritik China di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan penyeksaan dan penindasan terhadap kaum Uyghur – yang kebanyakannya beragama Islam – dan etnik minoriti di Xinjiang.

Sebanyak 43 negara menandatangani kenyataan itu yang mengkritik China pada Khamis lalu menyatakan keprihatinan khusus terhadap ‘laporan boleh dipercayai’ mengenai kewujudan ‘kem pendidikan semula’ di Xinjiang.

Dakwaan penyalahgunaan itu termasuk ‘laporan yang mendokumentasikan penyeksaan atau perlakuan atau hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah, pensterilan paksa, kekerasan berdasarkan seksual dan gender, serta pemisahan anak secara paksa.’

Kenyataan itu dibaca oleh Duta Perancis ke PBB, Nicolas De Riviere dalam persidangan Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Biarpun begitu, Beijing menafikan semua dakwaan tersebut dan menggambarkan kem itu sebagai kemudahan latihan vokasional untuk memerangi ekstremisme agama.

Duta China ke PBB, Zhang Jun membalas kenyataan yang sebahagiannya dibaca kepada jawatankuasa hak, semalam.

“Kepada AS dan beberapa negara lain: Percubaan terdesak anda untuk menyembunyikan rekod hak asasi manusia sendiri yang mengerikan tidak akan berjaya.

“Tidak kira berapa kali diulang, penipuan masih penipuan.

“Anda menggunakan hak asasi manusia sebagai dalih politik untuk memprovok konfrontasi,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button