Berita Utama

SPRM perlu diberi ‘wibawa’ banteras rasuah tanpa campur tangan politik

Ekonomi negara terjejas teruk bila rasuah berleluasa

BANGI, 17 Zulhijjah 1442H, Selasa – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti diberi kewibawaan sepenuhnya melaksanakan amanah membanteras rasuah, tanpa gangguan serta campur tangan politik.

Pada masa sama, warga kerja SPRM di semua peringkat perlu membuktikan integriti yang tinggi dalam pelaksanaan amanah, tanpa tunduk atau berkompromi kepada mana-mana pihak.

Selain itu, pihak berkuasa agama dan pertubuhan agama bukan kerajaan wajib menjadikan jihad memerangi rasuah sebagai antara jihad utama untuk menyelamatkan negara daripada kemusnahan ekonomi, politik dan tamadun.

Bahkan, media sebagai pembentuk pendapat umum masyarakat mesti menjadikan jihad memerangi rasuah sebagai salah satu keutamaan menyedarkan dan mengajak masyarakat memerangi rasuah.

Menegaskan perkara itu, Pengerusi Gerakan Jihad Rakyat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, rasuah menjadi ibu segala masalah manusia dalam segala peringkat sosial, dari institusi keluarga hingga institusi negara.

Beliau yang menyokong penuh gerakan memerangi rasuah dipelopori Datuk Hushamudin Yaacub dengan dukungan 200 badan seluruh negara berkata, rasuah punca salah guna kuasa, ketirisan, nepotisme, favoratisme, penzaliman, ketidakadilan dan pelbagai fenomena lain.

Sehinggakan semuanya meruntuhkan sistem nilai positif, akhlak, keadilan masyarakat, ketelusan, kejujuran, keikhlasan dan professionalisme, katanya.

“Ekonomi negara terjejas teruk dengan berleluasanya rasuah kerana bahagian yang besar daripada peruntukan projek dan modal perniagaan dirampok oleh perasuah di pelbagai peringkat.

“Justeru, jihad memerangi rasuah mesti dijadikan agenda di semua peringkat institusi, daripada keluarga, jabatan, agensi, persatuan, koperasi, yayasan, korporat dan kemuncaknya dalam kepemimpinan negara,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Awang Sariyan berkata, agenda memerangi rasuah dengan pelan tindakan yang praktis dan disegerakan pelaksanaannya wajib menjadi gerakan menyeluruh secara serentak dan bersepadu.

“Apa-apa ruang rasuah, sekecil manapun mesti ditutup dan dihapuskan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button