Berita UtamaDunia

Australia beri dana pada individu mahu tinggalkan keganasan rumahtangga

Ramai golongan wanita dijangka menjadi pemohon dana

CANBERRA, 15 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Australia melancarkan dana untuk mereka yang ingin meninggalkan hubungan atau rumahtangga yang diselubungi keganasan.

Mangsa boleh mula memohon bayaran $3,700 mulai Selasa lalu melalui program ‘Escaping Violence Payment’ – yang merangkumi wang tunai dan pembayaran terus untuk perbelanjaan seperti yuran sekolah, menurut laporan CNN.

Walaupun dana itu boleh dimohon oleh semua jantina, tetapi golongan wanita dijangka akan menjadi pemohon paling tinggi.  

Lebih-lebih lagi, negara itu menganggarkan satu wanita dibunuh oleh pasangan mereka atau bekas pasangan dalam setiap sembilan hari, menurut data kerajaan.

Pembayaran yang diumumkan oleh kerajaan pada bulan Mei itu merupakan sebahagian daripada pakej keselamatan wanita bernilai $820 juta dan bertujuan untuk menjadi program percubaan dua tahun.

UnitingCare Australia, agensi yang akan menguruskan program itu, mengatakan pihaknya sudah menerima panggilan dan mesej daripada orang ramai mengenai cara mendaftar bahkan sebelum permohonan dibuka pada hari Selasa.

Walaupun pembayaran itu secara amnya disambut baik oleh kumpulan penyokong wanita Australia, ada yang mengatakan ia tidak mampu menangani punca keganasan keluarga di Australia.

Katanya, pembayaran itu boleh membantu wanita melarikan diri daripada keganasan rumahtangga, tetapi dana berkenaan hanya sebahagian kecil daripada anggaran jumlah yang perlu dibayar oleh mangsa untuk mencari keselamatan, kata peguam dan pakar.

Permulaan pandemik COVID-19 pula menyebabkan lebih besar jurang perbezaan ekonomi di Australia kerana banyak wanita kehilangan pekerjaan atau dipotong jam bekerja mereka berbanding lelaki.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perundangan Komuniti Timur di Melbourne, Michael Smith ketika bercakap kepada The Guardian berkata: “Kami melihat wanita dan keluarganya berada dalam situasi yang lebih kompleks dan sukar kerana wabak itu,” katanya.

Majoriti wanita yang menghadapi keganasan fizikal atau seksual mengatakan bahawa keganasan telah bermula atau meningkat semasa krisis.

Di samping itu, wanita tidak dapat meninggalkan hubungan yang ganas kerana sekatan berleluasa – dan sekarang, walaupun sekatan pandemik mulai longgar, kos sewa rumah pula meningkat menjadikannya lebih sukar bagi wanita.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Australia telah berusaha menangani keganasan rumahtangga dengan rangkaian rancangan kebangsaan – tetapi kadarnya tetap tinggi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button