Berita UtamaDunia

Jet pejuang Arab Saudi bom gudang farmaseutikal Yaman

Pakatan didakwa berniat bunuh rakyat Yaman dengan lumpuhkan sektor kesihatan negara

SANA’A, 15 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Arab Saudi bertindak kejam apabila jet pejuangnya menyerang gudang farmaseutikal di ibu negara Yaman, Sana’a hingga mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan tiga yang lain cedera.

Mereka mengebom fasiliti itu di kawasan Saawan, semalam lapor rangkaian televisyen al-Masirah berbahasa Arab Yaman, dengan memetik sumber tempatan.

Jurucakap tentera Arab Saudi, Turki al-Maliki mengesahkan serangan udara itu.

Dia mendakwa, kerajaan Arab Saudi telah menahan diri sejak beberapa bulan demi mendukung usaha dan inisiatif Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mencari penyelesaian politik yang komprehensif dan berkekalan dalam krisis Yaman.

Sementara itu, jurucakap gerakan penentangan Ansarullah Yaman, Mohammed Abdul-Salam, mengecam serangan itu.

“Pengeboman gudang farmasi dan kemudahan awam lain di Sana’a berlaku selepas kenyataan oleh Majlis Keselamatan PBB baru-baru ini yang sepenuhnya berat sebelah untuk menyokong pakatan pencerobohan diketuai Arab Saudi.

“Malangnya, Arab Saudi terus dengan pencerobohan dan pengepungannya berbanding menghentikan mereka dan menilai hasil kebodohannya,” tulisnya dalam ciapan yang disiarkan di laman Twitter.

Kementerian Kesihatan Awam dan Penduduk Pemerintah Keselamatan Yaman juga mengecam serangan udara Arab Saudi, dan menyatakan serangan itu mengakibatkan kerosakan teruk pada gudang farmaseutikal, dan kemusnahan sepenuhnya semua ubat-ubatan serta bekalan perubatan di dalamnya.

Ia menggambarkan serangan itu sebagai ‘tindakan jenayah’, dan menekankan bahawa serangan berkenaan dilakukan pada saat pakatan yang dipimpin oleh Arab Saudi menghalang kemasukan komoditi asas terutama ubat-ubatan dan bekalan perubatan ke Yaman.

Kenyataan tersebut menegaskan bahawa pakatan itu berniat membunuh rakyat Yaman dengan melumpuhkan sektor kesihatan di negara berkenaan.

Malah, Kementerian Kesihatan Yaman terus mengatakan bahawa pengeboman kawasan kediaman dan infrastruktur kritikal memperlihatkan bahawa sekutu perang pimpinan Arab Saudi tidak mengendahkan nyawa orang awam di tengah kebisuan berterusan PBB.

Kementerian itu menganggap PBB bertanggungjawab ke atas pembunuhan rakyat Yaman dan serangan terhadap infrastruktur awam, dengan menekankan bahawa kebisuan dan ketidakaktifannya telah ‘memperbesarkan’ rejim Riyadh dan sekutunya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button