Berita UtamaDunia

‘Mood’ rakyat sudah berubah lepas lihat bagaimana BN, PH jadi kerajaan

PN wadah politik baharu mampu ubah pola pengundian PRN Melaka, PRU15

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 15 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin usahanya sepanjang berada dalam kepimpinan kerajaan selama tempoh lebih setahun yang lalu akan membuahkan hasil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Pengerusi Biro Undang-Undang Armada Bersatu, Mohamad Siddiq Mohd Azani berkata, pengundi juga semakin matang dalam membuat pilihan bijak, di samping mampu melihat dasar sesebuah parti dan sumbangan yang telah dibuat untuk rakyat.

“Pengundi perlu melihat apa yang parti-parti telah lakukan dalam dua, tiga tahun ke belakang. Pada masa sekarang, kita lihat semua parti politik sudah merasa menjadi kerajaan.

“Maka pengundi bijak akan buat keputusan. Dia dah lihat bagaimana Barisan Nasional (BN) jadi kerajaan, bagaimana Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan dan bagaimana Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan. Pengundi boleh buat keputusan sendiri. 

“Kita percaya dengan usaha yang kita buat sejak setahun yang lalu, perbelanjaan demi rakyat yang kita keluarkan, kita bantu serta pelbagai program yang dilaksanakan akan membuahkan hasil. Kalau dibandingkan dengan PH, mereka sudah boleh membezakan,” katanya dalam program bual bicara Dimensi bertajuk PRN Melaka: Undi Melayu Pecah? yang disiarkan secara langsung di TV Pertiwi, malam tadi. 

Mengulas lanjut, Siddiq berkata, sentimen pengundi pada hari ini sudah berbeza selepas terbentuknya PN.

“Kita dapat lihat mood pengundi sudah berubah. Mereka melihat satu wadah baharu, politik baharu yang kita tawarkan lebih kepada politik khidmat. 

“Jadi saya percaya PRU14, PRU15 dan bahkan PRN Melaka akan sangat-sangat berbeza. 

“Kita akan lihat pola pengundian berubah kerana perubahan landskap politik dan wadah politik yang baharu. Kita yakin dan akan berusaha keras untuk mendapatkan sokongan pengundi di PRN Melaka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button