Pertama kali dalam sejarah, Barbados punyai Presiden ganti Ratu Elizabeth
Sandra Mason akan dilantik pada 30 November, ulang tahun kemerdekaan ke-55 dari Inggeris

BRIDGETOWN, 15 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Barbados telah memilih presiden pertamanya untuk menggantikan Ratu Elizabeth dari Britain sebagai ketua negara, satu langkah muktamad untuk menghapuskan pengaruh masa lalu penjajah daripada pulau Caribbean itu.
Sandra Mason dipilih pada lewat hari Rabu dengan suara dua pertiga dalam sesi bersama Dewan Perhimpunan dan Senat negara itu.
Kerajaan dalam satu kenyataan berkata, ia langkah menuju ke arah negara republik.
Negara bekas jajahan Inggeris yang mendapat kemerdekaan pada tahun 1966 itu mempunyai populasi kurang 300,000 orang dan telah lama menjalin hubungan dengan monarki Inggeris.
Tetapi permintaan untuk mendapat kedaulatan penuh dan kepemimpinan tempatan meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan.
Mason, 72, akan dilantik pada 30 November, ulang tahun kemerdekaan ke-55 negara dari Inggeris.
Beliau merupakan seorang bekas juri yang menjadi gabenor jeneral pulau itu sejak 2018, dan beliau juga wanita pertama yang berkhidmat di Mahkamah Rayuan Barbados.
Perdana Menteri Barbados, Mia Mottley menyifatkan pemilihan presiden sebagai ‘detik penting’ dalam perjalanan negara berkenaan.
Mottley berkata, keputusan negara itu untuk menjadi sebuah republik bukanlah penghinaan terhadap masa lalu Britain.
“Kami berharap dapat meneruskan hubungan dengan raja Inggeris,” katanya.
Barbados dituntut oleh Inggeris pada tahun 1625. Kadang-kadang disebut ‘Little England’ kerana kesetiaannya terhadap adat istiadat Inggeris.
Ia adalah destinasi pelancongan yang popular sebelum wabak COVID-19, lebih dari satu juta pelancong mengunjungi pantai yang indah dan perairan ‘kristalnya’ setiap tahun.
Pulau paling timur di Caribbean itu juga terkenal sebagai tempat kelahiran penyanyi bintang besar, Rihanna yang merupakan duta Barbados yang bertugas mempromosikan pendidikan, pelancongan dan pelaburan. – Agensi