Berita Utama

Negara perlu transformasi pembiayaan kesihatan

Jawatankuasa Peringkat Tertinggi mesti fokus menyeluruh, bukan isu doktor kontrak saja

BANGI, 12 Ramadan 1444H, Isnin – Transformasi pembiayaan kesihatan secara menyeluruh wajar dilakukan bagi memastikan kesihatan negara berkualiti.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, transformasi penting untuk tempoh jangka masa yang panjang dalam sektor kesihatan negara.

“Kerajaan wajib menangani punca utama bagi permasalahan iaitu sistem kesihatan dan sistem pembiayaan kesihatan yang tidak mampan.

“Sistem kesihatan awam yang dibiayai melalui bajet tahunan dan sistem kesihatan swasta yang dibiayai oleh insurans perubatan, majikan sudah tidak mampu memastikan sistem kesihatan menyeluruh dan berkualiti bagi memenuhi keperluan hak asasi,” katanya.

Justeru, beliu menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang menjadi topik hangat dalam negara ketika ini.

Bagaimanapun, jawatankuasa berkenaan tidak sewajarnya memberi tumpuan kepada isu doktor semata-mata tetapi perlu melihat secara menyeluruh permasalahan dalam sektor kesihatan ini termasuk isu penghijrahan doktor pakar dari perkhidmatan awam.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memberitahu Jemaah Menteri bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak.

Penubuhan jawatankuasa berkenaan diwujudkan dalam mencari penyelesaian susulan kumpulan doktor yang dikenali Mogok Doktor Malaysia yang terdiri daripada 8,000 doktor kontrak, mahu melakukan mogok sebagai protes terhadap sistem tidak adil dalam sektor kesihatan awam.

Kumpulan itu memberi amaran terdapat 3,000 doktor kontrak akan meletak jawatan bulan ini.

Selain penyerapan semua doktor kontrak ke jawatan tetap tanpa sebarang syarat atau temuduga, kumpulan itu mendesak kenaikan gaji pokok dan kadar ‘on-call’ untuk pakar perubatan dan pegawai perubatan.

Mereka juga mahu Kementerian Kesihatan (KKM) menyelesaikan isu kekurangan pakar, pegawai perubatan dan pegawai perubatan siswazah dengan segera.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button