Berita Utama

Arak ‘Timah’: Status negara Islam Malaysia diperlekeh

Kalau mahu terus dihormati, kita perlu bertegas tangani perkara ini

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 16 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Status negara Islam akan diperlekehkan sekiranya kerajaan tidak bertegas dalam menangani isu arak yang menggunakan jenama ‘Timah’.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ini semua hanya akan memberi implikasi buruk selain mengelirukan keadaan sekali gus menjejaskan pentadbiran negara.

“Sudah tiba masanya, perlu kesungguhan dan ketegasan untuk membanteras isu ini termasuk mengawal pengeluaran dan penjualan arak di negara ini

“Kalau kita mahu terus dihormati, kita perlu bertegas tangani perkara ini supaya yang orang bukan Islam akan hormat kepada kita apabila berada di negara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang mahu kerajaan menghentikan pemberian lesen perniagaan arak.

Prof Ridhuan Tee berkata, adalah sangat tidak wajar bagi sebuah negara Islam menjadi pengeluar minuman keras, penternakan babi mahupun pusat judi terbesar di Asia.

Mengulas lanjut, Nadzim menegaskan dalam menangani masalah ini perlukan kesepakatan dan perbincangan bersama pengusaha terbabit.

“Mungkin kita perlu jelaskan dan hadkan apa yang boleh dilakukan dalam perniagaan melibatkan arak di negara kita memandangkan ini pentadbiran negara Islam.

“Seharusnya pengusaha juga perlu tahu batas-batas dalam menjaga sensitiviti masyarakat Islam di negara ini dan tahu ketetapan mereka berada di negara Islam,” katanya.

Beliau turut tidak menafikan pengeluaran arak berlaku secara berleluasa di negara ini adalah disebabkan oleh kelemahan penguatkuasaan.

“Walau apa pun alasan, kerajaan tidak perlu buang masa dan perlu menyekat pengunaan nama Timah serta imej lelaki berkopiah itu berikutan boleh mengelirukan umat Islam,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button