Berita Utama

Bawa agenda peribadi, SUHAKAM bukan lagi lidah kerajaan

Sudah tiba masa barisan kepimpinan dipinda untuk kekal relevan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 16 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Agenda perjuangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) kini dilihat lebih bersifat peribadi berbanding matlamat asal penubuhannya.

Suruhanjaya tersebut seperti memberi keutamaan kepada isu-isu berkepentingan berbanding menjadi lidah kepada kerajaan dan majoriti rakyat.

Atas faktor itu, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim merasakan, sudah tiba masa barisan kepimpinan SUHAKAM ditukar untuk kekal relevan dengan situasi di Malaysia.

“SUHAKAM hari ini dilihat tidak lagi menjadi lidah kerajaan tetapi lebih mementing agenda tertentu dalam menyelesaikan banyak perkara.

“Sudah tiba kita noktahkan dan gantikan barisan yang lebih berwibawa, yang mampu menyelesaikan (masalah), yang dilihat lebih serius,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pesuruhanjaya SUHAKAM, Jerald Joseph yang mahu meneliti isu kematian rakyat Nepal di negara ini.

Kata Jerald, sepanjang tahun 2018 hingga Julai 2021, kira-kira 1,158 penduduk Nepal dilaporkan meninggal dunia dengan pelbagai alasan sepanjang berada di negara ini.

Mengulas isu kematian rakyat Nepal, Ustaz Zamani mendesak supaya usaha SUHAKAM itu ditangguh untuk memberi laluan kepada isu-isu yang lebih besar.

Katanya, sepatutnya SUHAKAM memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan berteraskan aspirasi negara bagi membangun serta membentuk kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat.

“Isu keadilan dalam perundangan, pendidikan, ekonomi, kesihatan dan kebajikan perlu diberi perhatian yang serius oleh SUHAKAM,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button