Berita UtamaDunia

Palang Merah gesa masyarakat antarabangsa bantu krisis Afghanistan

30 peratus penduduk Afghanistan alami kekurangan zat makanan

DUBAI, 16 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Persatuan Palang Merah menggesa masyarakat antarabangsa untuk terlibat dengan pemerintah baru Afghanistan, Taliban dan mengatakan bahawa kumpulan bantuan tidak akan dapat mengatasi krisis kemanusiaan.

Afghanistan dilanda krisis selepas berakhirnya bantuan asing bernilai jutaan dolar berikutan kejatuhan pemerintah yang disokong Barat dan Taliban kembali berkuasa pada Ogos lalu.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) sejak itu meningkatkan usaha di negara tersebut sementara pertubuhan lain juga meningkat, kata Ketua Pengarah, Robert Mardini.

Bagaimanapun beliau memberitahu Reuters bahawa sokongan daripada masyarakat antarabangsa – yang setakat ini mengambil pendekatan berhati-hati dalam melibatkan diri dengan Taliban – adalah penting untuk menyediakan perkhidmatan asas.

“Pertubuhan kemanusiaan yang bergabung tenaga hanya dapat menghasilkan penyelesaian sementara,” katanya.

Khamis lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan telah menubuhkan dana untuk menyediakan wang tunai terus kepada rakyat Afghanistan.

Mardini berkata, langkah itu akan menyelesaikan masalah berkenaan selama tiga bulan.

“Afghanistan alami krisis semakin meruncing yang semakin merosot dari hari ke hari,” katanya memetik konflik selama puluhan tahun yang disebabkan oleh perubahan iklim dan pandemik COVID-19.

Katanya lagi, 30 peratus daripada 39 juta penduduk Afghanistan menghadapi kekurangan zat makanan, dengan 18 juta rakyat di negara itu memerlukan bantuan kemanusiaan atau perlindungan.

Taliban mengusir banyak kumpulan bantuan asing ketika kali terakhir berkuasa pada tahun 1996-2001.

Namun kali ini mengatakan pihaknya mengalu-alukan penderma asing dan akan melindungi hak kakitangan mereka.

Kumpulan Islam itu juga berkata, bantuan tidak boleh terikat dengan syarat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button