Berita Utama

Petisyen kes Adib teguh ‘berjalan’ meski pernah digesa tutup

Petisyen ‘Jangan Kuburkan Kes Adib’ himpun 24,147 tandatangan

BANGI, 16 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Petisyen ‘Jangan Kuburkan Kes Adib’ masih mendapat sambutan memberangsangkan, meskipun mendapat gesaan supaya ianya ditutup atas alasan kerajaan sudah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kes berkenaan.

Sehingga jam 11 pagi tadi, petisyen yang dilancarkan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) sebagai tanda solidariti rakyat negara ini terhadap Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim berjaya mengumpul 24,147 tandatangan.

Difahamkan, petisyen yang dilancarkan hampir tiga minggu itu bertujuan membuka mata pemimpin untuk lebih cakna dan memandang serius dengan kemarahan rakyat berhubung kes berkenaan – yang ketika ini masih belum ada titik noktah.

Sebelum ini, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya memaklumkan, ada pihak mengatakan sebenarnya petisyen ini ‘sudah menang’, maka ianya perlu ditutup bagi menggembirakan rakyat yang mendukung petisyen tersebut.

Bagaimanapun beliau menegaskan, selagi keadilan tidak diperoleh oleh Allahyarham Muhammad Adib dan keluarganya, iaitu individu-individu yang menyebabkan kematian anggota bomba itu (seperti keputusan inkues) tidak ditangkap dan didakwa, maka perjuangan ini tidak selesai.

“Ini termasuklah petisyen yang kami gerakkan ini.

“Bayangkan, dengan hanya 20 ribu lebih sokongan sahaja, sudah ada yang nampaknya tidak senang duduk. Saya tidak tahulah kalau petisyen ini cecah ratusan ribu. Mungkin ‘terbakar’ agaknya.

“Saya ingin tegaskan, kita jangan cepat berpuas hati dan bersorak kerana kita perlu tunjuk keseriusan serta ketegasan kita. Malah, sebelum ini pun memang sudah ada jawatankuasa yang lebih kurang. Apa keputusannya? Sunyi sepi sahaja,” katanya.

Justeru, beliau mengajak orang ramai bersama-sama turut serta dalam petisyen ini.

“Kita tunjukkan yang rakyat Malaysia serius dalam kes ini,” katanya.

Pautan petisyen: https://www.change.org/p/kerajaan-malaysia-jangan-kuburkan-kes-kematian-adib

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button