Berita Utama

PRN Melaka saksi pertambahan kerusi DAP?

Sejarah seolah berulang, ikut rentak nasib Pulau Pinang

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 16 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seolah-olah tidak bernilai kerana tiada maslahah ataupun kebaikan mendatang yang dilihat memberi manfaat kepada rakyat negeri itu mahupun negara.

Apatah lagi UMNO sehingga kini mengambil pendirian untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meskipun tarikh PRN sudah ditetapkan, sekali gus membuka ruang kepada pertembungan tiga penjuru.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, keputusan itu adalah muktamad dan tidak timbul soal UMNO lambat atau cepat membuat keputusan berhubung kerjasama berkenaan.

Sudah menjangka keputusan UMNO itu, Perikatan Nasional (PN) memutuskan akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Melaka.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, secara dasarnya perkara itu sudah dipersetujui semua parti komponen dalam gabungan berkenaan.

Mengulas perkara itu, Ketua Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Pusat, Ustaz Fahmi Bazlan menjangkakan PRN Melaka akan menyaksikan pertambahan kerusi DUN kepada DAP.

Beliau menegaskan, BERJASA berpendirian menolak PRN Melaka untuk diadakan buat masa ini dan memohon lebih ramai lagi membantah ianya daripada dilaksanakan.

“Saya sempat berbincang dengan beberapa sahabat yang baru bergerak keluar dari Melaka, seolah-olah mereka boikot dan membantah PRN.

“Ini sekali lagi akan merosakkan jumlah sokongan dan undi Melayu. Sekali gus membuka ruang kemenangan kepada DAP dan PKR yang sudah tentu membariskan ‘taiko’ Cina,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa PRN Melaka seperti mengikut rentak nasib di Pulau Pinang.

“Sejarah seolah-olah sedang berulang, di mana pemain atau pencatur utama politik Melaka berjaya mencetus huru-hara dan perseteruan orang Melayu khususnya parti-parti politik.

“Inilah ujian dan medan sebenar politik pilihan raya. PRN ini juga akan menjadi gambaran hala tuju PRU15,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button