Berita Utama

Pulau Batu Puteh: Apandi dakwa Tun M sembunyi hakikat sebenar

ICJ tidak halang mana-mana pihak buat rayuan keputusan asal

BANGI, 16 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad menyembunyikan hakikat sebenar bahawa status pemilikan Pulau Batu Puteh masih boleh dicabar.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu mengatakan bahawa Malaysia dan Singapura sudah berjanji untuk menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kes itu.

Apandi berkata, walaupun Malaysia sudah berjanji dengan Singapura untuk tidak membuat rayuan selepas ICJ membuat keputusan, itu tidak bermakna rayuan langsung tidak boleh dilakukan.

Katanya lagi, statut ICJ dengan jelas menerangkan bahawa mereka tidak menghalang mana-mana pihak untuk membuat rayuan terhadap keputusan asal.

“Memanglah Malaysia dan Singapura bersetuju dengan keputusan ICJ, tetapi peruntukan artikel dalam status ICJ sendiri menyebut, jikalau tidak berpuas hati dengan keputusan itu, bolehlah membuat permohonan dan mengkaji semula keputusan itu dalam tempoh 10 tahun.

“Jadi, menurut undang-undang itu sendiri kita boleh membuat semakan semula jika ada keterangan atau bukti baharu,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia, hari ini.

Bagaimanapun, Apandi yang mempengerusikan Pasukan Petugas Khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berhubung Pulau Batu Puteh hanya akan membuat kenyataan mengenai perkembangan terkini selepas persidangan diadakan secara rasmi.

Sebelum ini dilaporkan, Kabinet akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan petugas khas itu akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian, dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Katanya, usaha itu bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berhubung kes Pulau Batu Puteh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button