Berita Utama

Skuad WAJA berjaya bantu 826 kes keganasan terhadap wanita

35,823 ahli Skuad WAJA berjaya dilatih hingga kini

KUCHING, 16 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Skuad Wanita Anti Jenayah (Skuad WAJA) berjaya membimbing dan membantu 826 kes isu keganasan terhadap wanita di negara ini sejak awal tahun ini hingga semalam.

Skuad WAJA merupakan sukarelawan di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) bagi memperkasa komuniti melalui psikososial dan aktiviti bimbingan untuk meningkatkan kesedaran tentang isu-isu jenayah .

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata bagi program Skuad WAJA Turun Padang Pula, sebanyak 321 kes dilaksanakan hingga semalam dengan melibatkan 4,571 individu disantuni.

“Peranan Skuad WAJA dalam komuniti terutamanya dalam tempoh pandemik adalah sangat bermakna selain banyak membantu komuniti,” katanya dalam kenyataan sempena program Semarak Skuad WAJA Sarawak di sini.

Rina berkata seramai 35,823 ahli Skuad WAJA berjaya dilatih hingga kini dengan 862 sukarelawan daripadanya terdiri daripada lelaki.

“Penglibatan golongan lelaki sebagai Skuad WAJA amat digalakkan kerana ia merupakan gambaran bahawa isu menangani keganasan terhadap wanita merupakan isu bersama,” katanya.

Menurutnya seramai 1,235 individu di Sarawak telah dilatih di dalam skuad itu dan menyeru agar lebih ramai lagi orang awam mendaftar sebagai sukarelawan Skuad WAJA menerusi pautan https://www.rebrand.ly/pendaftaranskuadwaja atau https://www.jpw.gov.my/

Menurut kenyataan itu, Rina turut mengadakan sesi pertemuan dan beramah mesra bersama ahli Skuad WAJA Negeri Sarawak hari ini yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), ibu tunggal, Wanita Srikandi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

Selain itu beliau mengunjungi Mini Spa Mamacare Kuching yang dibangunkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk membantu wanita dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah menjana pendapatan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button