Berita UtamaDunia

Taliban larang kakitangan awam wanita bekerja di pejabat

Laksana undang-undang minggu depan namun janji terus bayar gaji

KABUL, 16 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Kerajaan Taliban kembali mengenakan sekatan ketat terhadap pekerja wanita dalam sektor kerajaan dengan melarang golongan itu bekerja di pejabat bermula minggu depan.

Ketua Bahagian Kesedaran Awam di Kabul, Neamatullah Barakzai berkata, kebanyakan pekerja wanita telah diberitahu supaya tidak memasuki pejabat sementara menunggu Taliban melaksanakan perundangan baharu.

Arahan itu bagaimanapun tidak melibatkan pekerja sektor kesihatan dan pendidikan.

Namun kerajaan berjanji akan membayar gaji kakitangan wanita sepanjang arahan dilaksanakan.

Sebelum ini, Taliban telah melaksanakan undang-undang syariah di wilayah yang dikuasai, memaksa wanita memakai purdah di tempat awam selain menghalang pelajar perempuan meneruskan sesi persekolahan.

Malah setiap wanita yang ingin keluar dari rumah wajib ditemani saudara lelakinya.

Tindakan berkenaan pernah dilaksanakan sepanjang Taliban memerintah Afghanistan pada tahun 1996 hingga 2001.

Bagaimanapun selepas mengambil semula pentadbiran Ogos lalu, Taliban berikrar untuk memberi lebih kebebasan kepada golongan wanita dan tidak melanggar hak asasi.

Sementara itu, pemangku Perdana Menteri, Abdul Salam Hanafi ketika membuat lawatan ke Russia berkata, golongan wanita akan dibenarkan bekerja di balai polis dan pejabat imigresen.

“Kami akan berusaha menyediakan kemudahan kepada kakitangan wanita di beberapa sektor yang diperlukan.

“Kami memberi jaminan kepada masyarakat antarabangsa untuk tidak melakukan diskriminasi kepada kaum wanita tetapi dalam rangka kerja undang-undang negara Islam,” kata jurucakap Zabihullah Mujahid. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button