Yayasan Ikhlas, I-Medik Sarawak bantu pesakit AMC
Anak syurga ini hanya bergantung kudrat ibu sepanjang hayatnya

KUCHING, 16 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Bagi lelaki normal usia 23 tahun mungkin telah memasuki fasa membina kehidupan selepas tamat pengajian.
Namun, tidak bagi Awang Azrul dari Sarawak apabila keseluruhan hidupnya dihabiskan di atas tilam di rumahnya di Kuching selepas disahkan menghidapi Arthrogryposis Multiple Congenita (AMC) atau kekurangan upaya fizikal.
Malah, sehingga kini Awang tidak mampu berenggang dengan ibunya untuk menguruskan kehidupan seharian.
Semuanya dilakukan ibunya dengan penuh ikhlas demi anak lelaki kesayangannya itu.
Memahami keperitan yang dilalui, Yayasan Ikhlas bersama-sama Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Sarawak mengambil inisiatif menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga Awang, baru-baru ini.
Duta Yayasan Ikhlas, Dr Khairol Jambli yang mengetuai rombongan berkenaan berkata, Awang menghidap AMC iaitu penyakit yang jarang didengari dan berlaku semenjak lahir.
“Selain itu, dia adalah pemegang kad OKU (orang kurang upaya) sejak lahir dan memerlukan penjagaan khas,” kata selepas menyampaikan sumbangan berkenaan.
Turut serta dalam rombongan itu adalah Pengerusi I-Medik Sarawak, Dr Mohd Naqib Ahmad Napis.
Menerusi kempen Bantu Pesakit Sihat, sumbangan yang diberikan adalah berbentuk sebuah kerusi roda khas bagi menyenangkan pesakit masuk ke tandas, selain bantuan lampin pakai buang serta wang tunai.
Sementara itu, Pegawai Yayasan Ikhlas Sarawak, Hafeez Morni berkata, Awang sebelum ini mampu berdikari dan boleh menyuap makanan sendirian.
Tetapi semuanya berubah sekelip mata apabila tulang belakangnya dipasang dengan besi titanium sehingga menyebabkan dia terpaksa bergantung kepada orang lain untuk meneruskan hidup, katanya.
“Titanium itu sepatutnya sudah dibuka, tetapi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini menyebabkan proses berkenaan terpaksa ditangguh,” katanya lagi.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan bagi meringankan beban Awang boleh berbuat demikian melalui akaun Yayasan Ikhlas, Maybank: 5628 3463 6228, Rujukan: BPSYI atau klik di pautan ikhlas.fund/ms/kempen/bantu-pesakit-sihat.