Berita UtamaDunia

Afghanistan menuju kehancuran

Sweeden tak akan salur sumbangan melalui Taliban

DUBAI, 17 Rabiulawal 1443H, Ahad – Menteri Sweden dan Pakistan memberi amaran Afghanistan berkemungkinan menjadi huru-hara kecuali jika masyarakat antarabangsa bertindak pantas.

Situasi di Afghanistan semakin kritikal selepas Taliban mengusir kerajaan yang disokong Barat pada Ogos sekali gus menghentikan bantuan berbilion dolar kepada ekonominya yang bergantung kepada bantuan.

“Negara ini berada di ambang kehancuran dan kejatuhan, lebih pantas dari yang kita sangka,” kata Menteri Pembangunan Sweden, Per Olsson Fridh kepada Reuters di Dubai.

Katanya, kejatuhan ekonomi memberikan persekitaran bagi kumpulan pengganas untuk berkembang, tetapi Sweden tidak akan menyalurkan dana melalui Taliban.

Sebaliknya, mereka akan meningkatkan sumbangan kemanusiaan melalui kumpulan masyarakat awam Afghanistan.

Kebanyakan negara dan institusi pelbagai hala telah menghentikan bantuan pembangunan namun meningkatkan bantuan kemanusiaan sejak Ogos, enggan mengesahkan penguasa baru Taliban.

Menteri Penerangan Pakistan, Fawad Chaudhry kemudian memberitahu Reuters bahawa penglibatan secara langsung dengan Taliban adalah satu-satunya cara untuk mencegah bencana kemanusiaan, dan menggesa berbilion dolar aset Afghanistan yang dibekukan di luar negara untuk dilepaskan.

“Adakah kita akan mendorong Afghanistan ke dalam huru-hara atau adakah kita akan cuba menstabilkan negara?,” katanya di Dubai.

Pembabitan juga akan mendorong perlindungan hak asasi manusia dan pembentukan sebuah pemerintahan berperlembagaan yang inklusif, katanya.

Pakistan mempunyai hubungan yang erat dengan Taliban dan sering dituduh menyokong kumpulan itu kerana memerangi kerajaan yang disokong Amerika Syarikat (AS) di Kabul selama 20 tahun – dakwaan yang ditolak oleh Islamabad. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button