Berita Utama

GPS tanding semua 82 kerusi di PRN Sarawak

Tiada rundingan pernah atau akan diadakan bersama Bersatu

BANGI, 17 Rabiulawal 1443H, Ahad – Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengumuman itu sekali gus menafikan ada rundingan pembahagian kerusi di antara GPS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi PRN12.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tiada rundingan pernah atau akan diadakan.

“Malah, GPS akan bertanding di semua 82 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada PRN yang akan datang.

“Saya ingin membetulkan mesej salah yang dilaporkan dalam beberapa media,” katanya.

Kenyataan itu susulan laporan media yang mendakwa Nanta mengesahkan terdapat rundingan pembahagian kerusi di antara GPS dan Bersatu bagi menghadapi PRN Sarawak.

Beliau menjelaskan, apa yang berlaku sebenarnya, pada sidang media yang diadakan pada 21 Oktober lepas di Kuching baru-baru ini, beliau telah ditanya mengenai kerusi Bersatu di Sarawak, iaitu kerusi DUN Krian yang dipegang oleh Datuk Ali Biju.

“Sebagai respons kepada soalan itu, saya hanya menyatakan bahawa kedudukan kerusi Krian akan dibincangkan oleh GPS. Jawapan yang diberikan tidak merujuk kepada mana-mana kerusi DUN yang lain.

“Saya sedar bahawa sememangnya GPS tidak akan memberi sebarang kerusi kepada mana-mana parti lain.

“Saya kecewa dengan tidakan segelintir media yang ‘memasukkan kata-kata ke dalam mulut saya’ untuk mensensasikan isu pembahagian kerusi sempena PRN Sarawak ke-12.

“Saya berharap semua pihak mendapat fakta yang sebenar dan tiada lagi sebarang isu mengenainya yang berbangkit,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button