Sekolah di Johor, Terengganu mula operasi 8 November
Kemasukan Tahap Satu pelajar sekolah rendah serta Tingkatan 3 dan 4

PUTRAJAYA, 17 Rabiulawal 1443H, Ahad – Institusi pendidikan di Johor dan Terengganu akan beroperasi semula secara berperingkat mulai 7 November, kata Kementerian Pendidikan (KPM).
Memandangkan negeri-negeri itu sedang memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Nasional (PPN) mulai esok (25 Oktober), operasi institusi pendidikan di bawah kementerian itu akan dilaksanakan selepas dua minggu dari tarikh peralihan.
“Bagaimanapun, sekolah di negeri tersebut hanya mula beroperasi pada 8 November (Isnin), berikutan 7 November adalah cuti tambahan yang diperuntuk dalam kalendar kementerian sempena perayaan Deepavali,” kata kementerian itu, hari ini.
Pengoperasian ini membabitkan kemasukan Tahap Satu (darjah satu, dua dan tiga) pelajar sekolah rendah serta Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat pelajar sekolah menengah.
“Sesi pembelajaran untuk Tahap Dua (darjah empat, lima dan enam) pelajar sekolah rendah, termasuk kelas peralihan, Tingkatan Satu dan Dua sekolah menengah akan bermula pada 14 November mengikut ketetapan PPN.
“Bagaimanapun, institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah kementerian akan beroperasi mengikut kalendar masing-masing,” kata kementerian .