Berita UtamaIstimewa

Semakan gaji minimum perlu dilakukan, tingkat produktiviti pekerja

Pertimbang alternatif pembiayaan kewangan syarikat tak babitkan hutang

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 17 Rabiulawal 1443H, Ahad – Semakan gaji minimum tetap perlu dilakukan atas beberapa faktor dan boleh dilaksanakan dengan mengambil kira beberapa perkara, kata penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Beliau menjelaskan, semakan perlu dilakukan kerana ketika ini kebanyakan syarikat mahu mengekalkan gaji minimum pada kadar sekarang untuk membolehkan mereka berterusan mengambil pekerja asing berbanding pekerja tempatan.

Katanya, pekerja tempatan tidak mampu menampung kos harian dengan gaji minimum yang begitu rendah diberikan oleh syarikat. 

Pun begitu, beliau berkata, semakan semula gaji minimum ini harus dilakukan serentak dengan reformasi dari segi pembiayaan kewangan syarikat. 

“Punca utama mengapa kos produk dan perkhidmatan meningkat kerana sebahagian daripada kos operasi syarikat adalah berbentuk komitmen hutang perniagaan yang harus dibayar walaupun syarikat untung atau rugi. 

“Disebabkan komitmen hutang, syarikat tidak mampu menawar gaji yang lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Berikutan itu, Pensyarah Kanan Putra Business School itu berkata, jika semakan gaji minimum hendak dilakukan, wajar dipertimbangkan alternatif pembiayaan kewangan syarikat yang tidak melibatkan hutang.

Sebaliknya lebih berbentuk pembiayaan ekuiti yang akan mengurangkan kos operasi syarikat, kata Dr Ahmed Razman.

“Apabila kos operasi syarikat dikurangkan, mereka akan mampu menawarkan gaji yang lebih tinggi.

“Kajian menunjukkan bahawa gaji yang lebih tinggi mampu meningkatkan produktiviti pekerja, sekali gus menambah pendapatan syarikat – mencatat keuntungan dan lebih mampan,” katanya.

Terdahulu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, majikan tidak mampu untuk menyerap sebarang kenaikan kos upah dan semakan kenaikan gaji minimum yang akan menjejaskan pemulihan ekonomi.

Beliau berkata, senario ekonomi semasa yang suram tidak membolehkan sebarang semakan kenaikan terhadap gaji minimum sedia ada terutamanya apabila lebih 98 peratus daripada semua syarikat berdaftar adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro.

Katanya, daripada menaikkan gaji minimum, pihaknya berpendapat usaha perlu dilakukan untuk segera mengawal kos produk dan perkhidmatan yang meningkat.

“Menambah kos perniagaan pada masa ini adalah tidak bijak. Langkah yang lebih baik ialah mengkaji langkah-langkah untuk mengawal kos sara hidup yang secara langsung akan membantu pekerja yang mempunyai pendapatan,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button