Turki kecam rancangan Israel bina penempatan haram baru
Tanah Palestin mesti dilindungi untuk capai keamanan jangka panjang

ANKARA, 17 Rabiulawal 1443H, Ahad – Turki mengecam negara pengganas Israel susulan rancangan Majlis Perancangan Tinggi meluluskan pembinaan 3,100 unit perumahan baru di pelbagai penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki minggu depan.
“Polisi sepihak dan tidak sah, termasuk pengembangan pendudukan haram, yang memusnahkan visi penyelesaian dua negara, yang juga satu-satunya pilihan untuk penyelesaian konflik Palestin yang adil, berkekalan dan komprehensif, harus diakhiri,” kata Kementerian Luar Turki dalam satu kenyataan.
Berikutan itu, kementerian menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan bagi memastikan perlindungan tanah Palestin dan hak rakyat negara itu untuk mencapai keamanan dan kestabilan jangka panjang di rantau ini.
Berhubung tindakan negara haram menyenaraikan enam kumpulan hak asasi manusia Palestin sebagai organisasi pengganas pula, Kementerian Luar menyifatkan ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Sebelum ini, Kementerian Kehakiman Israel mengharamkan kumpulan sokongan banduan Palestin, Addameer.
Antara kumpulan lain yang tersenarai termasuk Al-Haq, Pertahanan kanak-kanak Antarabangsa Palestin, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Bisan, Jawatankuasa Kesatuan Wanita Palestin dan Jawatankuasa Kesatuan Agrikultur.
Kementerian Pertahanan Israel menuduh kesemua kumpulan itu sebagai rangkaian organisasi yang aktif menyamar di sebalik misi kemanusiaan.- Agensi