Berita Utama

Isu kapal peronda: Ahmad Zahid beri keterangan kepada PAC

Berhubung kegagalan pembekalan 6 kapal peronda libat nilai lebih RM9 bilion

KUALA LUMPUR, 18 Rabiulawal 1443H, Isnin – Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberikan keterangan dan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kegagalan pembekalan enam kapal peronda generasi kedua Littoral Combatant Ship (LCS) oleh Kementerian Pertahanan melibatkan nilai lebih RM9 bilion.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, menjawat jawatan Menteri Pertahanan dari 10 April 2009 hingga 16 Mei 2013, telah memberikan penjelasan hampir dua jam berhubung isu itu yang merupakan perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Beliau berkata Ahmad Zahid merupakan saksi keenam yang dipanggil PAC untuk isu ini, selain Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Seri Muez Abdul Aziz, bekas Panglima Tentera Laut Jen (B) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua Pegawai Operasi Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) Low Kok Chiang.

“PAC memandang serius isu ini memandangkan sehingga Oktober 2020, sejumlah RM6.083 bilion telah dibayar namun tidak ada sebuah pun kapal LCS yang siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua kapal LCS telah siap dibina setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu tersebut telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian/Jabatan Persekutuan) dan juga dalam Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) Jabatan Perdana Menteri yang diterbitkan pada 2019.

Wong berkata bagi melengkapkan siasatan isu itu, PAC turut bercadang mengadakan lawatan ke limbungan kapal LCS yang dimiliki BNS di Lumut, Perak dalam masa yang akan ditetapkan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button