Berita Utama

PH ‘senyum’ girang parti Melayu tak bersatu pada PRN Melaka

Undi terpecah tiga jika PH turut letak calon Melayu

BANGI, 18 Rabiulawal 1443H, Isnin – Pakatan Harapan (PH) memiliki kelebihan besar untuk menawan kembali Melaka jika UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak bersama mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) itu nanti.

Pemerhati politik, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berkata, adalah amat janggal ketika kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ di pusat dianggotai oleh UMNO, PAS dan Bersatu, namun UMNO mengambil pendirian untuk bersendirian dalam PRN Melaka kali ini.

Dek kerana keinginan UMNO bergerak solo, maka Bersatu dan PAS yang bersama dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk Gerakan telah pun menyatakan hasrat untuk bertanding dalam semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka. 

Bagaimanapun, beliau berpandangan, Barisan Nasional (BN) berkemungkinan mengambil pendekatan sama seperti mana yang dilakukan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“BN telah memenangi 13 daripada 28 kerusi DUN yang dimenangi dalam PRU14 yang lalu. Jika ditolak dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang telah belot, kini mereka hanya tinggal 11 kerusi, itu pun jika berjaya mempertahankannya dalam PRN kali ini.

“Pergeseran akan semakin getir kerana kali ini Bersatu dan PAS yang membentuk PN akan membentuk jajaran baharu yang belum wujud ketika PRU14 yang lalu. 

“Bersatu hanya ada dua kerusi. Jika ditolak ADUN yang belot, maka kini hanya tinggal satu. PAS tiada sebarang kerusi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Melihat kepada senario itu, Lukman berkata, kebarangkalian PN untuk memberikan impak dalam PRN Melaka kali ini agak rendah.

“Apatah lagi jika PH (DAP, Amanah dan PKR) kini dengan jumlah 13 kerusi membariskan calon Melayu bagi menandingi UMNO dan PN di kawasan majoriti Melayu. 

“Sudah tentulah undi Melayu akan terpecah tiga dan memudahkan PH untuk menang,” katanya.

Manakala di pihak DAP pula, katanya, lapan kerusi dimiliki parti itu dilihat sebagai deposit tetap PH yang sukar digugat mana-mana parti. 

“Untuk makluman DAP memenangi kesemua 100 peratus lapan kerusi DUN yang ditandingi dalam PRU14 yang lalu

“Malah jika PH mengambil pendekatan meletakkan lebih ramai calon DAP di kawasan majoriti Melayu, tidak mustahil DAP mampu meningkatkan lagi bilangan kerusi mereka disebabkan perpecahan undi Melayu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kelebihan kepada PH juga akan dibantu dengan kaedah kempen utama yang perlu dilaksanakan secara dalam talian ekoran kempen bersemuka yang dihadkan.

“Sudah tentulah PH yang terbukti lebih menguasai sosial media dan anak muda memiliki kelebihan besar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button