Berita Utama

PUSPAL tak terima permohonan persembahan pelawak kontroversi

Tular promosi persembahan 'Apology Tour' Jocelyn Chia, Chrissie Mayr

BANGI, 7 Zulhijjah 1444H, Isnin – Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) tidak menerima dan meluluskan sebarang permohonan persembahan Apology Tour di Live House Kuala Lumpur oleh pelawak kontroversi, Jocelyn Chia dan Chrissie Mayr.

Agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) itu berkata, penafian ini dibuat susulan hantaran pemilik akaun Instagram @chrissiemarypod serta tular di laman media sosial mengenai promosi persembahan itu – yang dikatakan berlangsung pada 26 Ogos ini di TREC Kuala Lumpur.

“Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa mana-mana kemasukan bagi artis luar negara atau penggambaran filem asing di Malaysia, permohonan perlu dikemukakan kepada PUSPAL bagi tujuan penilaian sebelum dipertimbangkan untuk kelulusan.

“Sebarang hebahan dan promosi serta jualan tiket tidak boleh dilakukan sebelum memperoleh kebenaran penganjuran program daripada pihak berkuasa termasuklah surat kelulusan daripada PUSPAL,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PUSPAL berkata, maklumat lanjut berkaitan garis panduan persembahan artis luar negara boleh didapati dengan melayari laman web www.kkd.gov.my atau menghubungi PUSPAL di talian 03-89115355/5384 atau e-mel [email protected].

Sebelum ini, Jocelyn mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia selepas menjadikan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai bahan jenakanya satu persembahan di Amerika Syarikat.

Chrissie pula mengeruhkan keadaan apabila menyokong Jocelyn dan menghina netizen Malaysia di media sosial.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button