Berita Utama

Apa lagi kurangnya vernakular hingga tuntut pinda Perlembagaan?

Sehingga kini terdapat 1,300 buah SJKC, SJKT di seluruh negara

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 19 Rabiulawal 1443H, Selasa – Apa lagi kurangannya di sekolah vernakular sehingga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina sanggup menuntut supaya kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan demi memperkukuhkan kedudukannya.

Pandangan itu disuarakan pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang menyifatkan, tuntutan Hua Zong sebagai tak wajar kerana kewujudan sekolah vernakular itu sendiri tidak mengikut lunas Perlembagaan.

Susulan daripada itu, beliau mempersoalkan apakah tergamak pertubuhan berkenaan menuntut sedemikian rupa daripada kerajaan.

“Saya tak nampak apa yang mereka inginkan lagi dengan 1,300 buah Sekolah Jenis Kebangsaa Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) di seluruh negara.

“Kita hairan kenapa sanggup minta Perlembagaan dipinda sedangkan selama ini kerajaan bertindak tidak ikut Perlembagaan dengan membenarkan sekolah berkenaan dengan diberikan dana, prasarana terbaik,” katanya ketika dihubungi Buletin Pertiwi, malam ini.

Terdahulu, Hua Zong meminta kerajaan mengadakan perbincangan yang mendalam mengenai kedudukan sekolah vernakular di bawah Perlembagaan Persekutuan serta meminda atau memperkuatkan peruntukan yang relevan jika perlu.

Presiden Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan yang menggesa perkara itu berkata, ia bagi mengelakkan kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) di bawah Perlembagaan terus dicabar.

Mengulas lanjut, Prof Mohd Ridhuan Tee menegaskan, adalah lebih baik sekiranya Hua Zong mengetengahkan perkara yang membawa manfaat bersama seperti berkaitan hal ehwal perpaduan.

“Kenapa mereka tidak bercakap soal yang lebih penting iaitu soal nak kaji bagaimana sekolah vernakular boleh membantu kepada pembinaan sebuah negara bangsa.

“Itu lagi penting kerana sekolah vernakular ini dilihat sebagai penyumbang kepada isu perkauman,” katanya.

Berikutan itu, beliau menegaskan sudah tiba masa kerajaan mengambil pendirian tegas lagi tuntas supaya isu-isu sensitif seperti ini tidak berbangkit kembali.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button