3 penunjuk perasaan terbunuh, 80 cedera ditembak tentera di Khartoum
Orang ramai protes penahanan Abdalla Hamdok

KHARTOUM, 19 Rabiulawal 1443H, Selasa – Sekurang-kurangnya tiga penunjuk perasaan terbunuh manakala 80 lagi cedera akibat tembakan tentera di hadapan ibu pejabat tentera Sudan di Khartoum, semalam kata jawatankuasa doktor, lapor Agensi Berita Anadolu.
Protes berlaku sebagai tindak balas terhadap penahanan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok dan pemimpin kerajaan pada awal pagi Isnin.
Menurut Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan, pasukan keselamatan melepaskan tembakan secara langsung ke arah penunjuk perasaan.
Kementerian Kebudayaan dan Penerangan berkata, tentera menahan Hamdok selepas beliau enggan menyokong apa yang disifatkan sebagai ‘rampasan kuasa’.
Pada hari Isnin juga, ketua majlis tentera yang memerintah Sudan Jeneral Abdel-Fattah Al-Burhan, mengisytiharkan darurat dan membubarkan Majlis Berdaulat, yang diwujudkan untuk mengendalikan negara selepas penyingkiran Presiden Omar Al-Bashir yang sudah lama berkhidmat pada tahun 2019.
Selepas rampasan kuasa tentera yang gagal bulan lalu, ketegangan mendalam antara tentera dan pentadbiran awam tercetus di Sudan, di tengah-tengah protes saingan baru-baru ini di Khartoum.
Sebelum pembubaran, Sudan ditadbir oleh Majlis Berdaulat, pihak berkuasa tentera dan awam, yang menyelia tempoh peralihan sehingga pilihan raya yang dijadualkan pada 2023, sebagai sebahagian daripada pakatan perkongsian kuasa yang tidak menentu antara tentera dan gabungan Angkatan untuk Kebebasan dan Perubahan. – Agensi