Berita UtamaDunia

33 wanita Palestin terima layanan tak berperikemanusiaan di penjara Israel

Pelbagai penyeksaan dilakukan rejim Tel Aviv termasuk tidak benar keluarga melawat

TEL AVIV, 19 Rabiulawal 1443H, Selasa – Sebuah organisasi pembelaan hak asasi manusia bebas berkata, 33 wanita Palestin menerima layanan tidak berperikemanusiaan di Penjara Damon di wilayah yang diduduki, dengan tindakan keras rejim Tel Aviv terhadap tahanan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam Pusat Kajian Tahanan Palestin (PCBS) berkata, Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) telah meningkatkan kekerasan terhadap tahanan wanita Palestin dengan merampas pelbagai hak asasi mereka dalam beberapa bulan kebelakangan ini, lapor Pusat Maklumat Palestin.

Ia seterusnya mengatakan bahawa IPS telah melakukan serbuan berulang kali ke atas sel banduan wanita, menganiaya, merampas barang-barang dan mendenda mereka kerana didakwa melanggar undang-undang penjara.

Organisasi hak asasi itu juga menyatakan bahawa terdapat tujuh ibu dan beberapa wanita warga emas di kalangan banduan wanita, sambil menambah bahawa beberapa banduan mengalami masalah kesihatan yang berat dan kecuaian perubatan yang disengajakan.

Pada bulan Mac, dua kumpulan pembela hak asasi melaporkan Israel menahan 12 ibu warga Palestin di penjara yang melakukan pelbagai jenis penyeksaan serta tidak membenarkan tahanan bertemu dengan ahli keluarga mereka.

Pusat Maklumat Palestin, memetik laporan Kelab Tahanan Palestin (PPC) dan Persatuan Sokongan Tahanan dan Hak Asasi Manusia Addameer berkata, ibu-ibu Palestin yang dipenjarakan menjalani hukuman penjara yang berbeza, manakala seorang daripada mereka ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.

Banduan wanita dibenarkan melihat hanya seorang ahli keluarga dewasa mereka sejak bermulanya wabak coronavirus sementara lawatan keluarga digantung.

Laporan itu menyatakan bahawa sejak 2015, jumlah wanita Palestin yang telah ditangkap mencecah lebih 900 orang, antaranya ibu kepada banduan, syuhada dan gadis bawah umur.

Lebih 7,000 banduan Palestin kini ditahan di kira-kira 17 penjara Israel, dengan berpuluh-puluh daripada mereka menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Lebih 500 tahanan, termasuk wanita dan kanak-kanak bawah umur, ditahan di bawah penahanan pentadbiran di pelbagai penjara Israel.

Beberapa daripada mereka ditahan dalam keadaan itu sehingga 11 tahun tanpa sebarang pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button