Berita UtamaDunia

AS gantung pembiayaan AS$700 juta untuk Sudan

Dana bertujuan sokong peralihan demokrasi negara, tidak akan disalur selagi rampasan kuasa berlaku

WASHINGTON, 19 Rabiulawal 1443H, Selasa – Amerika Syarikat (AS) menggantung pembiayaan kecemasan berjumlah AS$700 juta untuk Sudan, sebagai tindak balas kepada cubaan rampasan kuasa tentera yang berterusan di negara itu, kata Jabatan Negara AS, lapor Agensi Berita Anadolu.

Jurucakapnya, Ned Price mengutuk tindakan itu dan mengesahkan pengagihan keseluruhan pakej bantuan akan ditangguh, kerana dana berkenaan bertujuan untuk menyokong peralihan demokrasi negara.

“Sebarang perubahan kepada kerajaan peralihan secara paksaan mempertaruhkan bantuan dalam hubungan dua hala kami secara lebih meluas,” kata Price memberi amaran, sementara AS sedang menilai langkah seterusnya untuk bantuan Sudan.

Beliau seterusnya menyeru tentera Sudan untuk segera membebaskan pemimpin yang telah ditahan, termasuk Perdana Menteri, Abdalla Hamdok dan mengembalikan kuasa kepada kerajaan peralihan diketuai orang awam.  

Kerajaan itu, kata Price: “Mewakili kehendak rakyat Sudan seperti yang dibuktikan oleh demonstrasi sokongan aman yang jelas pada 21 Oktober.

“Pegawai tentera harus segera membebaskan dan memastikan keselamatan semua pemimpin politik yang ditahan, memulihkan sepenuhnya kerajaan peralihan yang diketuai orang awam, dan mengelakkan sebarang keganasan terhadap penunjuk perasaan, termasuk penggunaan peluru hidup,” katanya.

Sekurang-kurangnya tiga penunjuk perasaan terbunuh dan 80 yang lain cedera, semalam akibat tembakan tentera di hadapan ibu pejabat tentera Sudan di ibu negara Khartoum, kata jawatankuasa doktor. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button