Berita Utama

Wisma Putra pantau perkembangan gempa bumi di Laut Aegean

Malaysia ucap takziah kepada rakyat Turki serta Republik Hellenik

KUALA LUMPUR, 14 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Kementerian Luar sedang memantau perkembangan selepas gempa bumi kuat berukuran 7.0 pada skala Richter menggegar Laut Aegean, pada 30 Okt (semalam).

Menurut kementerian dalam kenyataan hari ini, gempa itu telah menjejaskan bandar Izmir, Turki dan Kepulauan Samos, Greece.

“Kementerian mengucapkan simpati dan takziah daripada kerajaan Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Republik Turki dan Republik Hellenik atas kehilangan nyawa dan kecederaan berikutan bencana itu. Malaysia berdiri teguh dalam semangat setia kawan bersama mereka menghadapi keadaan yang mencabar ini.

“Menurut laporan awal, sebilangan rakyat Malaysia yang kini berada di Izmir selamat dan tiada rakyat Malaysia lain yang terkesan secara langsung dengan bencana itu,” menurut kenyataan tersebut.

Rakyat Malaysia yang kini berada di Turki yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Ankara (Telefon: +90 312 4463547/ 48, Fax: +90 312 4464130, E-mel: [email protected]) dan/atau Konsulat Jeneral di Istanbul (Telefon: +90 212 3261956/ +90 536 2896788/ +90 552 7970509, E-mel: [email protected]).

Mereka yang berada di Greece boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Bucharest (yang juga mewakili Greece) (Telefon: +40 21 211 3801/3802, Fax: +40 21 210 0270, E-mel: [email protected]). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button