Berita Utama

KPM tunggu sehingga 1 November sebelum ambil tindakan guru enggan vaksin

Beberapa guru sudah mula ambil dos pertama selepas arahan wajib JPA

KUCHING, 19 Rabiulawal 1443H, Selasa – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menunggu sehingga 1 November sebelum mengambil tindakan terhadap guru yang enggan mengambil vaksin COVID-19.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini selaras dengan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan semua penjawat awam menerima vaksin selewat-lewatnya 1 November.

“Sejak pengumuman JPA, beberapa guru telah mengambil dos pertama mereka, jadi kami memantau keadaan.

“Apa yang penting sekiranya guru yang tidak diberi vaksin menjejaskan operasi sekolah, tindakan segera akan diambil termasuk memindahkan mereka,” katanya seperti dilapor The Star.

Beliau berkata demikian selepas melawat SMK Bandar Samariang, Kuching hari ini.

Radzi berkata, prinsip asas kementerian ialah guru yang tidak diberi vaksin tidak boleh mengajar kelas secara bersemuka tetapi perlu hadir ke sekolah untuk tugas lain.

Pada masa sama katanya, adalah penting untuk memastikan operasi sekolah tidak terjejas sekiranya terdapat guru yang enggan mengambil vaksin.

“Di sekolah pendidikan khas misalnya, jika salah seorang guru tidak diberi vaksin, ia akan memberi kesan kepada guru-guru lain kerana kanak-kanak berkeperluan khas selalunya ditemani rapat oleh guru.

“Ini adalah perkara yang kita lihat secara terperinci, begitu juga dengan guru prasekolah yang tidak mahu diberi vaksin,” katanya.

Mengenai vaksinasi remaja, Radzi berkata lebih 80 peratus telah menerima dos pertama manakala beberapa negeri telah mencapai 90 peratus.

Beliau juga berkata, majoriti pelajar Tingkatan Lima dan Enam telah diberi vaksin sepenuhnya.

“Kami dalam peringkat akhir mengkaji data untuk membuat keputusan membenarkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam kembali ke sekolah tanpa giliran,” katanya sambil memaklumkan keputusan itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button