Berita Utama

Penipu, pemutar belit, inilah DAP!

Bayangkan jika PH-DAP tadbir, berapa ratus projek lagi nak kelentong?

BANGI, 6 Muharram 1442H, Selasa – Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyifatkan parti tamak haloba DAP sebagai pembohong, penipu serta pemutar belit.

Dakwaan itu selepas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan sepanjang pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebanyak 101 projek dengan perolehan berjumlah RM6.61 bilion telah ditawarkan secara rundingan terus.

Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, Lim Guan Eng – Menteri Kewangan PH ketika itu – pernah menyebut tiada lagi rundingan terus pada tahun 2018 dan akan mengguna Kerjasama Awam Swasta (Public-Private Partnership (PPP) yang sebenar.

Bagaimanapun semalam katanya, wajah sebenar Guan Eng didedahkan oleh Tengku Zafrul bahawa 101 projek berjumlah RM6.61 bilion diluluskan melalui rundingan terus.

“Sungguh ironi. Selama 22 bulan memerintah, langsung tidak pernah dibentang di Dewan Rakyat. Bayangkan jika PH-DAP memerintah selama satu penggal?

“Berapa ratus projek lagi dia mahu kelentong? Berapa bilion ringgit lagi mahu runding terus tanpa persetujuan Kabinet?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairil berkata, perkara ini dibangkitkan kerana kerajaan PH sebelum inilah yang bersungguh-sungguh mencanang imej bersih dan telus di hadapan rakyat.

Beliau memetik janji ke-23 manifesto PH (bukan kitab suci): “Untuk memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan baik, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mereformasi sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan, demi memastikan ia lebih berdaya saing dan menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat. Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar.

“Adakah realiti ini yang rakyat terima? Janji tinggal janji. PPP 2.0? Pembohong. Penipu. Pemutar belit. Inilah DAP,” katanya sinis.

Sebelum ini Tengku Zafrul memaklumkan sebanyak 101 projek membabitkan nilai RM6.61 bilion dibuat secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan ketika PH mentadbir negara berdasarkan rekod yang diperolehnya.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai jumlah tender secara rundingan terus yang diluluskan ketika PH mentadbir.

Tengku Zafrul turut memberi pencerahan bahawa kerajaan melaksanakan perolehan projek kerajaan secara persaingan terbuka melalui kadar perolehan antaranya secara sebut harga, tender terbuka atau tender terbuka pra-kelayakan.

Bagaimanapun katanya, dalam keadaan tertentu kaedah perolehan secara rundingan terus dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan berdasarkan beberapa kriteria termasuk bekalan perkhidmatan membabitkan keperluan mendesak yang mana jika perolehan itu tidak dilaksanakan dengan segera ia boleh memudaratkan atau menjejaskan perkhidmatan atau kepentingan negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button