PRN Melaka: Keegoan UMNO memungkin PH kembali berkuasa
Sikap ini jadi punca rakyat hilang kepercayaan terhadap UMNO

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 19 Rabiulawal 1443H, Selasa – Keegoan dan ketamakan UMNO yang dipercayai akan bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya merugikan orang Melayu.
Bukan itu sahaja, tindakan untuk enggan menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menang selesa dan sekali gus kembali berkuasa.
Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Haji Zamani Ibrahim mendakwa, sikap pentingkan diri ini akan menjadi punca rakyat hilang kepercayaan terhadap parti berteraskan Melayu itu.
“Ini semua berpunca daripada sikap negatif yang ada kepada UMNO, tidak mahu menggunakan pendekatan matang sebaliknya terlalu pentingkan diri sendiri.
“UMNO masih lagi merasakan dia adalah sebuah parti kuat dan mampu bergerak walaupun solo.
“Hakikatnya rakyat hari ini sudah muak dengan politik yang berpecah belah, rakyat mahu keamanan yang boleh bawa agenda bangsa dan agama,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Mengulas lanjut, Ustaz Zamani menegaskan, sepatutnya UMNO berlapang dada dan bertindak matang dalam mendepani keadaan getir di PRN Melaka.
“Apa salahnya jika UMNO kurangkan ego dan duduk berbincang dengan susun atur dengan harmoni.
“Sekiranya UMNO mahu monopoli PRN ini, ambillah 15 kerusi kepadanya manakala selebihnya agihkan kepada PAS dan Bersatu, dan berganding bahu dalam membawa agenda yang satu.
“Tapi sayangnya UMNO ini tamak, sikap egonya terlalu tinggi kerana rasakan dia adalah parti yang kuat lagi dan memberi alasan rakyat rindukan Barisan Nasional (BN).
“Hakikatnya rakyat bukan rindukan BN tapi rindukan kesatuan parti bersama yang boleh membawa agenda Melayu dan bangsa,” katanya lagi.
Dalam masa sama, BERJASA melihat belum terlambat untuk UMNO mengubah fikiran dan kembali bersama demi kepentingan masa depan orang Melayu.
“Jangan kerana keegoan kita hari ini memberi kesan kepada pewaris dan bangsa kita sendiri di hadapan hari,” katanya.