Berita Utama

PRN Melaka: Parti komponen PN bertanding bawah satu logo

Gabung tenaga jentera parti masing-masing untuk memenangi keyakinan rakyat

KLANG, 19 Rabiulawal 1443H, Selasa – Parti komponen Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di bawah satu logo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat majlis tertinggi perikatan itu yang dipengerusikannya, hari ini.

Semua parti dalam PN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS, Sabah STAR, Parti Progresif Sabah (SAPP) and Gerakan – hadir pada mesyuarat tersebut.

“Mesyuarat khas itu telah membincangkan secara khusus perkara berkaitan PRN Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin kemudian berkata, Majlis Tertinggi PN memutuskan Bersatu, PAS dan Gerakan akan bertanding dalam PRN itu dengan menggunakan logo PN secara kolektif.

“Rundingan bagi kerusi itu akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi PN.

“Majlis tertinggi juga memutuskan semua parti komponen PN akan mengaktifkan sepenuhnya jentera parti masing-masing dan menggabungkan tenaga serta usaha untuk memenangi keyakinan rakyat Melaka bagi memenangi PRN,” kata Muhyiddin.

Katanya lagi, PN akan sentiasa berpegang kepada aspirasi membina perpaduan dan memastikan pentadbiran yang berintegriti serta menjaga kesejahteraan rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button