Berita UtamaDunia

Rakyat Afghanistan jual bayi demi sesuap nasi?

3.2 juta kanak-kanak di negara itu berdepan masalah kurang zat

KABUL, 19 Rabiulawal 1443H, Selasa – Kira-kira 22.8 juta rakyat Afghanistan bakal berdepan kebuluran musim sejuk tidak lama lagi, memaksa Program Makanan Dunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak segera.

Lebih menyedihkan kira-kira 3.2 juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun pula berdepan kekurangan zat makanan.

“Afghanistan kini antara negara yang berdepan krisis kemanusian paling teruk di dunia,” kata Pengarah Eksekutif WFP, David Beasley.

Penduduk di negara ini hanya bergantung hidup kepada bantuan semata-mata, apabila 10 peratus atau lebih pendapatan kasar negara datang daripada bantuan luar.

Negara-negara Barat telah menghentikan bantuan, sementara Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga menghentikan penyaluran dana.

Malah, penduduk Afghanistan kini terpaksa menjual harta benda bagi membeli keperluan termasuk makanan bagi meneruskan kehidupan.

Selain itu, sejuta kanak-kanak kini berisiko kelaparan dan sejumlah keluarga mengatakan kepada BBC mereka terpaksa menjual bayi mereka demi sesuap nasi.

Pengarah Makanan dan Pertanian PBB, QU Dongyu berkata, pihaknya akan bertindak segera bagi memepercepatkan penghantaran bekalan sebelum musim sejuk yang akan tiba tidak lama lagi.

“Keadaan jika dibiarkan akan menyebabkan ramai terutama wanita, kanak-kanak dan warga emas yang terjejas teruk sehingga boleh membawa kematian akibat musim sejuk kali ini,” katanya.

September lalu, WFP hanya menganggarkan lima peratus rakyat Afghanistan tidak mendapat makanan mencukupi termasuk keperluan asas.

Namun bulan lalu, jumlah berkenaan meningkat mendadak dan menjangkakan kira-kira sejuta kanak-kanak berisiko berdepan kematian pada musim sejuk tidak lama lagi.

Sebelum ini, masyarakat antarabangsa berjanji untuk menyalurkan sebanyak RM417 juta bagi membantu program kemanusiaan di negara itu dan satu pertiga daripada jumlah berkenaan akan disalurkan WFP.

Organisasi itu memaklumkan pihaknya memerlukan kira-kira AS$4220 juta (RM913 juta) sebulan bagi menjayakan program berkenaan di negara bergolak tersebut.

Namun sehingga kini, WFP hanya mampu mengumpul sepertiga daripada dana keseluruhan.

Krisis makan di negara ini kini berganda apabila rakyat berdepan kekurangan air. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button