Berita Utama

Tiada SOP pilih kasih pada PRN Melaka

Harap semua pihak patuhi larangan berhimpun sepanjang PRN Melaka

KUALA LUMPUR, 19 Rabiulawal 1443H, Selasa – Tiada isu pilih kasih membabitkan jemaah menteri bagi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, demikian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Kita tidak mengamalkan ‘double standard’, saya berharap semua pihak beri kerjasama dan saya bercakap bagi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) serta SPR.

“Saya akan bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat Kabinet dan meminta menteri jangan menyalahgunakan SOP ditetapkan MKN dan KKM yang akan dilaksanakan SPR,” katanya seperti dilapor Sinar Online, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) yang meminta jaminan kerajaan supaya tiada majlis rasmi kerajaan dianjurkan oleh menteri Kabinet untuk kempen PRN Melaka.

Wan Junaidi berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu proses demokrasi berjalan iaitu membenarkan kesemuanya berpandukan ketetapan MKN dan KKM. 

“Kalau undang-undang dilaksanakan satu pihak, mesti dilaksanakan pihak lain,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya berharap larangan berhimpun sepanjang PRN Melaka untuk tujuan kempen dapat dipatuhi.

“Saya tidak boleh beri jaminan aktiviti oleh aktivis politik. Ketika PRN Sabah, kita buat SOP tetapi parti berkempen dan tidak ada kawalan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, SPR dengan kerjasama MKN dan KKM sedang memuktamadkan penambahbaikan SOP Pencegahan COVID-19 Bagi Pelaksanaan PRN Melaka yang akan diumumkan sebelum penamaan calon.

“SOP ini akan disesuaikan selaras dengan fasa PPN di samping mengambil kira pandangan MKN dan KKM,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button