Berita UtamaDunia

China kritik usaha AS tingkat peranan Taipei dalam PBB

Beijing anggap Taipei tak berhak berada dalam badan dunia itu

BEIJING, 20 Rabiulawal 1443H, Rabu – China mengutuk keras usaha Amerika Syarikat (AS) untuk meningkatkan peranan Taipei dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Beijing, pulau yang berada di bawah pemerintahan sendiri itu ‘tidak berhak’ untuk menyertai badan dunia itu.

Jurucakap Pejabat Hal Ehwal Taiwan China, Ma Xiaoguang membuat kenyataan itu pada sidang akhbar biasa di Beijing, hari ini sehari selepas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menggesa semua negara anggota PBB untuk menyertai Washington dalam menyokong penyertaan signifikan Taipei dalam sistem PBB.

“Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ialah organisasi kerajaan antarabangsa yang terdiri daripada negara berdaulat,” kata Ma sambil menegaskan bahawa Taipei adalah sebahagian daripada China.

Beliau berkata, Republik Rakyat China adalah satu-satunya kerajaan sah yang mewakili seluruh China.

Beliau turut menekankan bahawa Taipei tidak mempunyai hak untuk menyertai PBB.

Ma seterusnya menggesa ahli politik di Taipei meninggalkan angan-angan untuk bergantung kepada Washington demi mencapai kemerdekaan.

Dalam pada itu, China menggesa AS untuk mematuhi prinsip ‘Satu China’ dan menekankan bahawa Beijing tidak akan berkompromi dengan kepentingan terasnya.

Dalam satu kenyataan, semalam Blinken menggesa negara-negara lain untuk bersama Washington dalam mendorong kemasukan ‘lebih besar’ Taipei dalam institusi PBB. 

“Pengecualian Taipei menjejaskan kerja penting PBB dan badan berkaitannya, yang kesemuanya mendapat manfaat besar daripada sumbangannya,” kata Blinken.

Pegawai AS itu seterusnya melahirkan rasa kesal kerana Taipei tidak dibenarkan menyumbang kepada usaha PBB dan semakin diketepikan di pentas dunia.

“Itulah sebabnya kami menggalakkan semua negara anggota PBB untuk menyertai kami dalam menyokong penyertaan bermakna Taipei ini dalam seluruh sistem PBB dan dalam masyarakat antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, Presiden AS, Joe Biden berkata, Amerika Syarikat akan membantu Taipei jika ia diserang China, mendakwa ia mempunyai komitmen untuk mempertahankan pulau yang diperintah sendiri itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button