Berita UtamaIstimewa

Hua Zong cuba putar sejarah pembinaan negara ke belakang

Sekolah vernakular terus jadi masalah dalam pemerkasaan sistem pendidikan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 20 Rabiulawal 1443H, Rabu – Gesaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum Cina, Hua Zong berhubung isu sekolah vernakular sangat tidak wajar dan seolah-olah cuba mengambil kesempatan dengan ‘kelonggaran’ yang ada.

Terdahulu, Hua Zong meminta kerajaan mengadakan perbincangan yang mendalam mengenai kedudukan sekolah vernakular di bawah Perlembagaan Persekutuan serta meminda atau memperkuat peruntukan yang relevan jika perlu.

Presiden Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan yang menggesa perkara itu berkata, ia bagi mengelakkan kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaa Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) di bawah Perlembagaan terus dicabar.

Mengulas perkara itu, Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, permintaan untuk meminda Perlembagaan adalah sesuatu yang melebihi tahap kewajaran dan tindakan mengundur ke belakang.

Hua Zong seolah-olah meminta sejarah pembinaan negara diputar ke belakang mengikut kepentingan kaum, bukan kepentingan seluruh rakyat, katanya.

“Walhal, sekolah vernakular itu sendiri sudah bertentangan dengan semangat pembinaan negara.

“Salah satu asas yang jelas ialah pemerkasaan sekolah kebangsaan sebagai acuan jati diri, perpaduan dan kebersamaan seluruh warganegara dalam sistem dan persekitaran pendidikan yang sama.

“Asas itu telah diletakkan oleh Penyata Razak, 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960 yang kemudian dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1961 dan diperteguh dalam Akta Pendidikan 1996,” katanya ketika hubungi Ismaweb.net, hari ini.

Prof Awang menjelaskan, kewujudan sekolah vernakular terus menjadi masalah dalam pemerkasaan sistem pendidikan kebangsaan – dan sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan.

Maka permintaan Presiden Hua Zong sama sekali tidak memperlihatkan kebersamaan dalam cita-cita dan usaha kerajaan untuk membentuk negara yang berteraskan semangat kebangsaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button