MUDA mahu tanding PRN Melaka, akan runding dengan PH
Belum lulus pendaftaran oleh RoS sebagai parti politik

MELAKA, 20 Rabiulawal 1443H, Rabu – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyatakan hasrat bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada 20 November ini.
Pesidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya sedang berunding dengan Pakatan Harapan (PH) bagi meletakkan calon MUDA serta membincangkan pengagihan kerusi.
“Rundingan masih berjalan dan kita akan umumkan (jumlah kerusi) yang akan kita tandingi nanti,” kata Ahli Parlimen Muar itu pada sidang medianya di Banda Hilir, sebentar tadi.
Syed Saddiq berkata, calon yang akan diketengahkan pada PRN nanti adalah golongan muda yang dinamik, berpengalaman dan mempunyai trek rekod perkhidmatan yang baik.
“Saya difahamkan PH juga sedang berbincangkan logo apa yang bersesuaian. Tetapi (apa) yang jelas, mana-mana gabungan yang kita sertai, kita perlu tekankan tiga perkara iaitu politik berbilang bangsa dan agama, politik moderate dan dasar serta politik khidmat.
“Kita tolak politik katak, politik tidak berintegriti yang bersandarkan pangkat dan jawatan semata-mata,” katanya.
Sehingga kini, MUDA yang ditubuhkan Syed Saddiq pada 17 September tahun lepas belum diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai parti politik.