Berita Utama

PAS mohon kelonggaran bertemu warga emas kurang mahir teknologi

Bimbang pengundi saluran 1 tak mampu ikuti kempen media sosial

 

MELAKA, 20 Rabiulawal 1443H, Rabu – Jentera Pilihan Raya PAS Melaka bersedia melaksanakan kempen menggunakan media sosial sebagai alternatif pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Namun, pihaknya berharap ada kelonggaran bagi aktiviti membabitkan golongan warga emas yang kurang mahir dengan teknologi.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata, platform berkenaan perlu digembleng memandangkan prosedur operasi standard (SOP) ketat pada PRN tersebut.

“PAS meminta KKM dapat memberi sedikit kelonggaran untuk kempen bertemu pengundi dengan kaedah bersemuka terutama pengundi yang sudah lanjut usia.

“Dan sekiranya dibenarkan, semua pihak harus mematuhi prosedur SOP bagi mengelak pandemik COVID-19 meningkat semula,” katanya seperti dilapor portal tempatan, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Katanya, larangan tersebut ditetapkan meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan SOP PRN dalam masa terdekat.

Bagaimanapun Kamarudin melahirkan kebimbangan tehadap pengundi warga emas atau pengundi saluran 1 berupaya atau tidak mengikuti kempen melalui media sosial.

“Kita lihat pengundi-pengundi warga emas yang banyak di saluran 1 lebih mudah diberi penjelasan mengenai isu semasa politik menerusi kaedah bersemuka berbanding media sosial.

“Mereka dari segi penglihatan contohnya, sudah tidak begitu jelas untuk menatap bahan kempen melalui telefon bimbit atau komputer riba, jadi perlu ada platform lain yang boleh kita turun beri maklumat jelas kepada mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button