PM Sudan dibebaskan dengan kawalan ketat
Beberapa pemimpin lain masih ditahan selepas rampasan kuasa

KHARTOUM, 20 Rabiulawal 1443H, Rabu – Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok yang ditangkap dalam rampasan kuasa oleh tentera kini dibawa pulang ke kediamannya dan diletakkan di bawah pengawasan rapi.
Setakat ini, hanya Abdalla yang dibawa pulang, manakala beberapa pemimpin awam lain masih ditahan selepas tentera membubarkan institusi Sudan, Isnin lalu.
Sumber tentera memaklumkan, Abdalla telah diiring pulang ke rumah, dengan ‘langkah keselamatan’ ‘di sekelilingnya’.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pula mendesak Abdalla ‘dibebaskan segera’, susulan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan malam tadi.
Sebelum mesyuarat, Timbalan Duta Russia ke PBB, Dmitry Polyanskiy berkata, Majlis Keselamatan ‘patut merayu untuk menghentikan keganasan itu daripada semua pihak’
Pergolakan ketika ini berlaku selepas hanya kira-kira dua tahun perkongsian kuasa diatur antara tentera bersama pemimpin awam susulan penggulingan autokrat, Omar al-Bashir, pada April 2019. – Agensi