Berita Utama

Sasterawan Negara Kemala meninggal dunia pada usia 80 tahun

Pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada negara khasnya dunia sastera tanah air

KUALA LUMPUR, 20 Rabiulawal 1443H, Rabu – Sasterawan Negara, Datuk Ahmad Khamal Abdullah yang lebih dikenali dengan nama pena Kemala meninggal dunia, hari ini.

Dewan Bahasa dan Pustaka dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 80 tahun.

Menurut DBP, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan yang besar kepada negara khasnya dalam dunia sastera tanah air.

“Warga Dewan Bahasa dan Pustaka merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Sasterawan Negara Datuk Ahmad Khamal Abdullah atau Kemala.

“Allahyarham memberikan sumbangan yang besar dalam perkembangan sastera tanah air dan nusantara. Allahyarham sentiasa memberikan kerjasama yang sangat baik dan bergiat aktif bersama-sama DBP demi bahasa dan persuratan Melayu,” kata DBP hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Ahmad Khamal meninggal dunia ketika tidur kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Berita tersebut disahkan anaknya Ainal Adnin Ahmad dalam satu kenyataan.

Pada 2011, Ahmad Khamal dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-11, yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button