Berita Utama

SOP lebih jelas perlu diperkenal tangani kemasukan pekerja asing

Bimbang mengenai syarat majikan perlu tanggung semua kos

 

KUALA LUMPUR, 20 Rabiulawal 1443H, Rabu – Penyediaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas perlu dilaksanakan dalam menangani kemasukan pekerja asing ke semua sektor yang dibenarkan.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman menyuarakan kebimbangan mengenai kos yang perlu ditanggung untuk membawa masuk pekerja asing terbabit.

“Kami bimbang mengenai syarat majikan perlu menanggung semua kos untuk membawa masuk pekerja asing ke Malaysia.

“Perkara ini perlu dijelaskan secara terperinci kerana agak tidak munasabah bagi majikan menanggung kos tanpa mengira keadaan yang boleh berlaku ketika proses pengambilan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, SOP terbaru mengenai pengurusan pekerja asing dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia tetapi tidak menyatakan secara terperinci.

Syed Hussain turut mempersoalkan sama ada majikan perlu bertanggungjawab terhadap kos yang ditanggung pekerja asing itu dalam menyediakan dokumen untuk sesi temuduga.

“Kami berpendapat ia amat penting untuk menyediakan dasar yang jelas bagi mengelakkan sebarang salah faham dan pertikaian antara majikan, pekerja dan kerajaan,” katanya lagi.

Syed Hussain juga berkata, pentadbiran negara-negara sumber perlu mempermudahkan kemasukan rakyat mereka untuk bekerja dan melarang ejen pengambilan pihak ketiga daripada mengenakan caj yang terlampau tinggi.

Negara-negara sumber perlu bersikap telus mengenai jumlah yang boleh dikenakan sebagai yuran pengambilan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button