Berita Utama

Keputusan permohonan salinan percakapan saksi utama kes Syed Saddiq esok

Berhubung kes pecah amanah dan pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR, 24 Muharam 1444H, Isnin – Permohonan pembelaan bagi mendapatkan salinan rakaman percakapan seorang saksi utama pendakwaan yang direkod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan diketahui esok.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Menteri Belia dan Sukan itu serta Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Gobind berhujah pernyataan yang dirakam oleh SPRM penting kerana wujud dua senario bercanggah yang diberikan oleh saksi pendakwaan ke-13 iaitu Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung kutipan dana untuk tujuan kempen Ahli Parlimen Muar itu.

Beliau berkata Rafiq Hakim memberitahu pegawai penyiasat SPRM bahawa wang dalam akaun Armada adalah hasil kutipan dana orang ramai oleh Syed Saddiq sendiri untuk berkempen di Muar.

“Namun ketika memberi keterangan lisan di mahkamah, saksi itu menyatakan dana tersebut dikumpul untuk kegunaan Armada.

“Oleh itu, wujud percanggahan dalam keterangannya namun kami tidak dibekalkan dengan dokumen berkenaan jadi bagaimana untuk mendapatkan perbicaraan yang adil,” katanya yang turut mendakwa saksi itu mungkin berbohong di mahkamah.

Bagaimanapun, Wan Shaharuddin meminta Azhar menolak permohonan itu atas alasan pembelaan gagal meyakinkan mahkamah bahawa mereka telah memenuhi syarat di bawah Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah.

“Mereka sekadar melengkapkan ‘ekspedisi memancing.’ Sepatutnya saksi ini selesai memberi keterangan namun ia seperti tiada kesudahan,” katanya.

Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Ahli Parlimen Muar itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button