Berita Utama

14 kes ajaran sesat dilaporkan hingga September tahun ini

33 kes jenis kesalahan sama dilaporkan bagi tahun 2020

BANGI, 21 Rabiulawal 1443H, Khamis – Sebanyak 14 kes berkaitan ajaran sesat dan penyebaran doktrin palsu dilaporkan sepanjang Januari sehingga September tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 33 kes dilaporkan melibatkan pemujaan salah, perbuatan ajaran sesat, doktrin dan dakwaan palsu.

“Bagi tahun 2020 sebanyak 33 kes dilaporkan melibatkan pemujaan salah, perbuatan/ ajaran salah, doktrin palsu dan dakwaan palsu.

“Manakala sebanyak 14 kes dilaporkan pada bulan Januari hingga September lalu di bawah jenis kesalahan yang sama,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang bertanya mengenai jumlah ajaran sesat yang dilaporkan sepanjang 2020 dan sehingga suku ketiga tahun ini serta usaha berterusan yang dilaksanakan kerajaan bagi bagi mencegah penyebaran ajaran sesat.

Idris berkata, beberapa langkah bagi mengatasi isu berkaitan penyelewengan akidah umat Islam telah dilakukan termasuk bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam aspek penyelidikan berkaitan ajaran dan doktrin yang meragukan atau disyaki mengeleweng daripada ajaran Islam.

Katanya lagi, Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) turut mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup bersama kumpulan atau individu yang terlibat dengan ajaran yang meragukan.

“Melaksanakan kajian secara menyeluruh dalam pelbagai aspek sebelum sesuatu ajaran atau doktrin itu diberi pandangan hukum oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“Ini termasuk kajian dari sudut kesan dan implikasi apabila sesuatu pandangan hukum mengenai ajaran sesat dikeluarkan.

“Jabatan Mufti di negeri mengeluarkan fatwa mengenai ajaran terbabit mengikut peruntukan dan bidang kuasa masing-masing berpandukan kepada pandangan hukum oleh Muzakarah MKI dan perbincangan di peringkat Jawatankuasa/Muzakarah Fatwa Negeri Negeri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button