Berita Utama

Belanjawan 2022: i-Guru cadang tambah peruntukan pendidikan, rapat jurang digital

Beri bantuan insentif RM1,000 secara sekali bayar kepada golongan pendidik

BANGI, 21 Rabiulawal 1443H, Khamis – Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru) berharap satu peruntukan besar dapat diberikan kepada sektor pendidikan dalam Belanjawan 2022 kali ini mengatasi peruntukkan sebanyak RM50.4 bilion untuk tahun 2021.

Presiden i-Guru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, ia kerana kesan COVID-19 telah memberikan impak besar kepada pendidikan negara terutama daripada aspek kesamarataan akses pendidikan dan jurang digital. 

Manakala dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0, beliau berkata, bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu diberi tumpuan dan pemerkasaan sebagaimana negara-negara industri dunia. 

Justeru, katanya, pihak i-Guru mencadangkan supaya bajet pendidikan menumpukan kepada enam elemen.

“Pertama adalah meningkatkan prasarana pendidikan untuk merapatkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar, begitu juga sekolah-sekolah daif.

“Kedua, merapatkan jurang digital antara sekolah luar bandar dan bandar dengan meningkatkan bajet untuk akses internet dan keperluan digital serta pengagihan alat peranti kepada pelajar yang memerlukan bagi mengelakkan keciciran pendidikan.

“Ketiga, pemerkasaan bidang TVET sebagai bidang utama negara terutama dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Selain itu, Ustaz Mohd Azizee berkata, kerajaan juga diharap dapat memberi bantuan insentif secara sekali bayar (one-off) kepada golongan pendidik terutama untuk pembelian peralatan digital dan pembelajaran secara dalam talian sekurang-kurangnya RM1,000. 

“Juga satu insentif pengecualian cukai kepada warga guru atas tujuan untuk pembelian peranti dan pengajaran secara dalam talian,” katanya.

Sementara yang kelima, beliau berkata, perlu ada Pelan Pemulihan Pendidikan Pasca Pandemik bagi menangani keciciran murid-murid terutama menangani isu penguasaan membaca, menulis dan mengira (3M) – literasi dan numerasi. 

Beliau juga menuntut skim kenaikan pangkat Gred 54 kepada gred 56 sebagaimana yang pernah diumumkan pihak kerajaan. 

“Kerajaan juga boleh mempertimbangkan satu skim gaji khas bagi guru-guru yang telah mendapat ijazah lanjutan di peringkat Sarjana atau Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) untuk memperkasa bidang pendidikan negara.

“Pihak i-Guru berharap satu pembentangan yang positif demi melonjakkan kecemerlangan pendidikan sekali gus wadah membina peradaban bangsa dan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button