Berita Utama

PRN Sabah: Ditolak Cina, indikator MCA bergantung undi Melayu

MCA pasti melobi bertanding di kawasan majoriti Melayu pada PRU-15

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 11 Safar 1442H, Selasa – Kegagalan MCA untuk menyaingi DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah wajar menjadi indikator bahawa parti perkauman itu sebenarnya bergantung harap kepada undi orang Melayu.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Omar Kassim mendakwa, atas sebab itu, MCA akan kuat melobi supaya mereka dapat bertanding di kawasan majoriti Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

“MCA sepatutnya melihat diri sendiri untuk menempatkan mereka menjadi parti pilihan dan memenangi hati pengundi Cina.

“Atas sebab ini, MCA mestilah terus memainkan peranan ini dengan masyarakat Cina dan tidak lagi diberikan secara mudah kerusi di kawasan majoriti Melayu dalam PRU-15.

“Parti Melayu mesti bertanding di kawasan majoriti Melayu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Dalam PRN Sabah yang menyaksikan kemenangan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ustaz Omar berkata, pengundi dilihat masih tidak dapat menolak calon-calon yang pernah terpalit kes rasuah atau mempunyai rekod buruk.

Tegasnya, keadaan itu perlu dilihat semula kerana wakil rakyat yang sedemikian masuk bertanding kerana ingin terus berada ditampuk kuasa tanpa menghiraukan kepentingan rakyat dan negara.

“Di sinilah letaknya kekuatan pemilihan calon kerana budaya pujuk memujuk dan percaturan selepas PRU masih boleh berlaku.

“Dengan kerusi yang majoriti bukan Islam yang dimenangi oleh Warisan Plus, cubaan mereka untuk membentuk kerajaan adalah dengan menggunakan ‘kebijaksanaan’ sebagaimana dicadangkan oleh Naib Presiden Amanah.

“Bagaimanapun, dengan pelantikan Datuk Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah yang baharu, nampaknya percaturan ini tidak berlaku. GRS dapat membentuk kerajaan sekarang, tetapi apa jaminan kerajaan itu akan kekal?,” soalnya.

Beliau menjangkakan strategi melompat-lompat akan berlaku dalam masa sebulan dua lagi atau bila-bila masa yang sesuai.

“Kita tidak tahu apa ‘game’ yang mereka mahu mainkan selepas ini, tetapi yang pasti tidak akan menguntungkan rakyat dan hanya menguntungkan diri politikus sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Omar meminta rakyat yang boleh mengundi untuk segera mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana beliau percaya PRU-15 mungkin akan berlangsung dalam masa terdekat

“… sebagaimana kata Perdana Menteri yang mengatakan indikator yang diberikan dari PRN Sabah akan digunakan untuk menentukan tarikh PRU akan datang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button