Berita Utama

Dewan Rakyat lulus RUU Lembaga Angkasa Malaysia

Berperanan sebagai badan kawal selia sektor angkasa

KUALA LUMPUR, 21 Rabiulawal 1443H, Khamis – Dewan Rakyat hari ini meluluskan tanpa pindaan Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020 yang bertujuan menubuhkan Lembaga Angkasa Malaysia.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ahmad Amzad Hashim ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata fungsi Lembaga Angkasa Malaysia adalah berbeza dengan peranan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), sedia ada.

Beliau berkata MYSA adalah agensi kerajaan dengan peranan khusus dalam pembangunan dan penyelidikan (R&D) sektor angkasa, manakala Lembaga Angkasa pula berperanan sebagai badan kawal selia sektor itu.

“Konsep ini boleh dilihat seperti mana yang telah diguna pakai MOSTI (menerusi) Agensi Nuklear Malaysia iaitu agensi kerajaan yang khusus dalam R&D tenaga atom manakala kita ada satu lagi, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom, ini adalah badan yang mengawal selia bagi tujuan sektor tenaga atom,” katanya.

Ahmad Amzad berkata rang undang-undang itu digubal bagi menyediakan kerangka perundangan untuk memastikan aktiviti angkasa negara dilaksanakan dengan selamat, bertanggungjawab dan terjamin selain mematuhi garis panduan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa.

Selain itu, rang undang-undang tersebut akan menjadi panduan bagi perkembangan teknologi angkasa tempatan dan dijangka meningkatkan minat serta keyakinan industri tempatan dan luar negara untuk melabur dalam sektor angkasa negara.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung 4 petang esok bagi pembentangan Bajet 2022.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button