Berita UtamaDunia

Ribuan hadiri pengebumian rakyat Palestin dibunuh kejam pengganas Israel

Pengusiran secara paksa oleh peneroka haram Yahudi semakin meningkat

TEBING BARAT, 21 Jamadilakhir 1444H, Sabtu – Ribuan menghadiri perarakan dan upacara pengebumian dua warga Palestin yang terbunuh ketika serbuan rejim pengganas Israel berhampiran bandar Jenin, utara Tebing Barat yang diduduki Tel Aviv.

Rakaman yang tersebar di media sosial, menunjukkan rakyat Palestin melaungkan slogan antipendudukan ketika mereka membawa jenazah Abdul Hadi Fakhri Nazzal, 18 tahun dan Habib Mohammad Ikmail, 25 tahun.

Abdul Hadi meninggal dunia akibat kecederaan kritikal selepas ditembak di dada dan leher – sekali gus menyaksikan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh pada 2023 kepada sembilan.

Pada hari sama, tentera Israel turut menembak Habib di kepala dan disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di Jenin.

Gerakan pejuang Palestin mengatakan bahawa pendudukan Israel bertanggungjawab atas jenayah yang berterusan.

Angka kematian rakyat Palestin dari 2022 berjumlah kira-kira 150, menjadikan tahun lepas tahun paling maut bagi rakyat Palestin sejak 2004, apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mula merekodkan jumlah.

Berucap pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai kedaulatan undang-undang, Setiausaha Agung badan dunia itu Antonio Guterres berkata, 2022 merupakan tahun maut bagi rakyat Palestin dan mereka mengutuk semua ‘pembunuhan dan perbuatan yang menyalahi undang-undang oleh pelampau.’

Pasukan pendudukan rejim Israel dan peneroka haram sengaja meningkatkan serangan terhadap orang awam Palestin dalam usaha untuk mengusir secara paksa rakyat Palestin dari tanah mereka dan memberi laluan memperluaskan penempatan Yahudi haram.

Tentera Israel telah merobohkan beberapa rumah milik rakyat Palestin di seluruh Tebing Barat, dan telah melepaskan gas pemedih mata ke arah rakyat Palestin yang membantah perobohan sebuah rumah di bandar Kafr al-Dik, terletak di barat Salfit.

Antara 600,000 dan 750,000 penduduk Israel menduduki lebih 250 penempatan haram yang telah dibina di seluruh Tebing Barat sejak pendudukan wilayah Palestin pada 1967. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button