Berita UtamaDunia

Penunjuk perasaan Maghribi bantah keputusan kerajaan wajibkan pas vaksinasi

Ramai berpusu-pusu dapatkan vaksin ekoran keputusan kerajaan

RABAT, 21 Rabiulawal 1443H, Khamis – Penunjuk perasaan di Maghribi turun ke jalan raya di bandar-bandar seluruh negara, semalam bagi mengecam keputusan kerajaan mewajibkan pas vaksinasi COVID-19 untuk dibenarkan bekerja dan memasuki tempat awam.

Keputusan yang berkuat kuasa 21 Oktober lalu itu menetapkan bahawa rakyat Maghribi mesti memberikan bukti vaksinasi untuk memasuki tempat kerja mereka.

Dalam satu kenyataan, kerajaan berkata, majikan mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk menguatkuasakan keputusan berkenaan.

Pas itu juga diperlukan untuk mengakses perkhidmatan lain seperti restoran dan bank serta perjalanan domestik atau antarabangsa.

Kerajaan Afrika Utara dengan 36 juta rakyat itu mempunyai kadar vaksinasi tertinggi di Afrika, dengan lebih daripada 50 peratus penduduk telah disuntik sepenuhnya.

Awal bulan ini, kerajaan juga mula memberikan suntikan penggalak.

Tetapi keperluan menunjukkan pas vaksin secara tiba-tiba itu juga telah mencetuskan tentangan, dan menyebabkan orang ramai berpusu-pusu ke pusat vaksin untuk mendapatkan suntikan.

Di ibu negara, Rabat, penunjuk perasaan berkumpul di luar bangunan Parlimen dan melaungkan slogan menentang peraturan itu, dengan alasan ia bertentangan dengan hak asasi manusia dan kebebasan sivil.  

Polis kemudian membentuk barisan untuk menghalang penunjuk perasaan yang marah daripada masuk ke dalam bangunan.

Beberapa penunjuk perasaan bertempur dengan polis ketika mereka ditolak ke Mohammed V Avenue yang menuju ke bangunan Parlimen.

Antara penunjuk perasaan ialah Ahli Parlimen dan Setiausaha Agung parti pembangkang, Parti Sosialis Bersatu, Nabila Mounib.

Beliau menyertai protes itu selepas dilarang memasuki bangunan Parlimen kerana hadir tanpa pas vaksinasi.

Adegan yang sama berlaku di bandar-bandar Maghribi yang lain, dengan berpuluh-puluh penunjuk perasaan turun ke jalan raya di bandar paling ramai penduduk di negara itu, Casablanca serta kawasan tumpuan pelancong Marrakech dan Agadir.  

Mereka menjerit ‘Bersatu menentang pas!’  ketika polis menolak dan menghayun belantan ke arah beberapa penunjuk perasaan dalam usaha untuk menyuraikan mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button