Berita Utama

Tiada isu kekurangan guru walau ada yang belum divaksin

Guru tak divaksin tidak dibenarkan berinteraksi dengan pelajar

KUALA LUMPUR, 21 Rabiulawal 1443H, Khamis – Tiada isu kekurangan guru walaupun mereka yang tidak divaksin dilarang mengajar kelas secara bersemuka, kerana hanya 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan yang menolak vaksinasi COVID-19.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) bertanggungjawab memastikan persekitaran pengajaran dan pembelajaran (PdP) selamat.

Beliau menegaskan, guru yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan tatatertib.

“Kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4/2021 yang disediakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kami akan memastikan guru yang enggan disuntik mesti melengkapkan vaksinasi mereka sebelum 1 November 2021, kecuali bagi mereka yang mempunyai surat daripada pengamal perubatan berdaftar,” katanya.

Radzi berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Rusnah Aluai (Pakatan Harapan-Tangga Batu) di Dewan Rakyat, yang meminta menteri menjelaskan sekiranya terdapat kekurangan guru berikutan mereka yang menolak vaksinasi COVID-19.

Beliau menjelaskan, guru yang tidak diberi vaksin tidak dibenarkan berinteraksi dengan pelajar sama ada di dalam atau di luar bilik darjah bagi memastikan persekitaran persekolahan selamat.

“Guru-guru ini dikehendaki melaksanakan tugas PdP seperti yang diarahkan oleh pihak sekolah dari semasa ke semasa.

“Mereka mesti memakai pelitup muka berganda dan memakai pelindung muka ketika berada di kawasan sekolah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button